Salah satu syarat menyediakan
seseorang untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk; basuh dan
bersihkan tubuh badan dan sucikan hati. Pada peringkat permulaan, supaya zikir
itu berkesan, perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan dan ayat yang dijadikan
zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. Bila perkataan tersebut diucapkan
usahakan agar kamu berada di dalam kesedaran (tidak lalai). Dengan cara ini hati
mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh apa yang dizikirkan. Ia menerima
tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup di dunia ini bahkan juga hidup
abadi di akhirat. “Mereka tidak akan merasa padanya kematian, hanya
kematian pertama, dan Dia pelihara mereka daripada azab jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).
Nabi s.a.w menceritakan
bahawa keadaan orang mukmin yang mencapai yang hak melalui zikir, “Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang
sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi”. Dan mereka lakukan
di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus
beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah
mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan
merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu sehari.
Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan
iman yang sejati.
Makrifat tidak
dicapai oleh manusia dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah
dinaikkan kepada makam tersebut orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia
Allah. Allah membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu
hidup dan sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya dan jika hati yang sedar
itu bersedia menerima yang hak. Nabi s.a.w bersabda, “Mataku tidur tetapi hatiku jaga”.
Pentingnya memperolehi
makrifat dan hakikat diterangkan oleh Nabi s.a.w, “Jika
seseorang berniat mempelajari dan beramal menurut keinginannya itu tetapi mati
sebelum mencapai tujuannya, Allah melantik dua orang malaikat sebagai guru yang
mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke hari kiamat. Orang itu dibangkitkan dari
kuburnya sebagai orang arif yang telah memperolehi hakikat”. Dua
orang malaikat di sini menunjukkan roh Nabi Muhammad s.a.w dan cahaya cinta yang
menghubungkan insan dengan Allah. Pentingnya niat dan hajat selanjutnya
diceritakan oleh Nabi s.a.w, “Ramai yang berniat belajar
tetapi mati ketika masih di dalam kejahilam tetapi mereka bangkit daripada kubur
pada hari pembalasan sebagai orang arif. Ramai ahli ilmu dibangkitkan pada hari
itu dalam keadaan rosak akhlak hilang segalanya dan jahil
keseluruhannya”. Mereka adalah orang-orang yang bermegah dengan ilmu
mereka, yang menuntut ilmu kerana muslihat duniawi dan berbuat dosa. Mereka
diberi amaran: “Dan (ingatkanlah mereka) hari yang akan dibawa
orang-orang kafir ke neraka (dan dikata), ‘Kami telah habiskan bahagian kamu
yang baik di dalam penghidupan dunia. Dan kamu telah bersuka-sukaan dengannya.
Maka pada hari ini kamu akan dibalas dengan azab yang keji lantaran kamu pernah
berlaku sombong di dunia secara tidak benar dan lantaran kamu telah melewati
batas”. (Surah Ahqaaf, ayat 20).
Nabi s.a.w bersabda, “Setiap amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang beriman
lebih baik dan bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya. Niat orang yang
tidak beriman lebih buruk daripada apa yang nyata dengan amalannya”.
Niat adalah asas amalan. Nabi s.a.w, “Adalah baik membena
kerja kebajikan di atas tapak yang baik, dan dosa adalah perbuatan yang dibina
di atas tapak yang jahat”. “Barangsiapa hendak ke taman akhirat Kami tambah
untuknya pada ke tamannya, dan barangsiapa mahu ke taman dunia Kami akan beri
kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi tidak ada baginya bahagian akhirat”.
(Surah Syura, ayat 20).
Cara terbaik ialah mencari
guru kerohanian yang akan membawa hati kamu hidup. Ini akan menyelamatkan kamu
di akhirat. Ini adalah penting; ia mesti dilakukan segera ketika masih hidup.
Dunia ini kebun akhirat. Orang yang tidak menanam di sini tidak boleh menuai di
sana. Jadi, bercucuk tanamlah di dalam dunia ini dengan benih yang diperlukan
untuk kesejahteraan hidup di sini dan juga di akhirat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar