Ada satu golongan yang
dikenali sebagai sufi. Empat tafsiran diberikan kepada istilah sufi. Ada yang
melihatnya pada keadaan zahir mereka memakai baju bulu yang kasar. Bulu dalam
bahasa Arab ialah suf. Dari perkataan ini mereka dipanggil sufi. Yang lain
melihat kepada kehidupan mereka yang bebas daripada kekacauan dunia ini serta
kedamaian dan ketenteraman mereka, keadaan yang sesuai dengan bahasa Arab safa.
Daripada perkataan safa itu timbul istilah sufi. Yang lain pula memandang lebih
mendalam, kepada hati mereka yang suci murni dan bebas daripada apa sahaja
kecuali Zat Allah. Dalam bahasa Arab safi bererti kesucian hati dan dari
perkataan itu dikatakan timbul istilah sufi. Yang lain memanggil mereka sufi
kerana mereka hampir dengan Allah dan akan berdiri di barisan pertama di hadapan
Allah pada hari kiamat. Safi dalam bahasa Arab bermakna barisan.
Terdapat empat alam, empat
dunia. Pertama ialah alam atau dunia jirim - tanah, air, api dan angin merupakan
jirim dalam alam ini. Kedua ialah alam makhluk rohani - malaikat, jin, mimpi dan
kematian, ganjaran Allah - lapan syurga dan keadilan Allah - tujuh neraka.
Ketiga ialah alam huruf, nama-nama indah bagi sifat-sifat Allah, dan Loh
Tersembunyi (Loh Mahfuz) yang menjadi sumber kepada perintah-perintah Allah.
Keempat ialah alam Zat Allah Yang Maha Suci, alam yang tidak boleh digambarkan
atau dihuraikan kerana pada alam ini atau tahap ini tidak ada perkataan,
nama-nama, sifat-sifat atau persamaan. Tiada siapa kecuali Allah mengetahuinya.
Terdapat pula empat jenis
ilmu. Pertama ilmu tentang peraturan-peraturan Allah, dan berhubung dengan aspek
lahir kehidupan dunia ini. Kedua ialah ilmu kerohanian, pengetahuan batin
tentang sebab dan akibat. Ketiga ialah ilmu tentang jiwa, roh, mengenal diri dan
melaluinya pengetahuan tentang ketuhanan diperolehi. Akhirnya ilmu tentang
kebenaran atau hakikat.
Roh juga ada empat jenis, roh
kebendaan, roh yang arif, roh yang memerintah (roh sultan) dan roh kudus (roh
suci).
Yang zahir, kenyataan bagi
Pencipta, juga ada empat jenis. Pertama ialah kenyataan di dalam rupa, bentuk,
warna, seumpama gubahan-Nya. Kedua ialah kenyataan perbuatan dan tindak balas
dalam perkara yang berlaku. Ketiga ialah kenyataan dalam sifat-sifat,
bakat-bakat, perangai-perangai sesuatu. Akhirnya kenyataan bagi zat-Nya.
Akal atau daya menimbang juga
ada empat jenis: akal yang menguruskan soal-soal kehidupan duniawi, akal yang
menimbang dan memikirkan soal-soal akhirat, akal bagi roh yang bertugas dalam
bidang makrifat dan akhirnya akal yang meliputi.
Perkara yang dibincangkan
juga ada empat jenis. Empat jenis ilmu, empat jenis roh, empat jenis penzahiran
(kenyataan) dan empat jenis akal. Ada orang yang berada pada tahap pertama ilmu,
roh, kenyataan dan akal. Mereka adalah penghuni syurga pertama yang dipanggil
syurga yang menjadi tempat kembali yang mensejahterakan, iaitu syurga keduniaan.
Mereka yang berada pada tahap kedua ilmu, roh, kenyataan dan akal tergolong ke
dalam syurga yang lebih tinggi, taman kesukaan dan kesenangan kurniaan Allah
kepada makhluk-Nya, syurga di dalam alam malaikat.. Sebahagian manusia yang
mencapai tahap ketiga ilmu, roh, kenyataan dan akal (makrifat) berada di dalam
syurga peringkat ketiga, syurga langit-langit, syurga nama-nama dan sifat-sifat
Ilahi dalam alam keesaan.
Namun, mereka yang mencari
dan terikat dengan ganjaran Allah, walaupun syurga, tidak dapat melihat hakikat
sebenar dalam diri mereka dan dalam benda-benda di sekeliling mereka. Mereka
yang arif, yang mencari hakikat, mereka yang mencapai suasana sebenar sufi,
suasana keinginan menyeluruh - tidak inginkan sesuatu apa pun kecuali Allah,
berhajat kepada Allah sahaja - meninggalkan segala-galanya dan tidak mencari
apa-apa kecuali yang hak. Mereka temui apa yang mereka cari dan masuk ke dalam
alam yang hak, dan kehampiran dengan Allah, dan hidup semata-mata kerana Zat
Allah, tidak kerana yang lain.
Ini sesuai dengan perintah
Allah, "Carilah keselamatan dengan Allah" dan
ikut nasihat Nabi s.a.w, "Kedua-dua dunia dan akhirat
terlarang bagi orang yang mencintai Allah". Nabi s.a.w tidak
memaksudkan kedua-dua dunia dan akhirat dihukumkan haram. Apa yang baginda
maksudkan ialah orang yang berkehendak menemui Allah menyekat keinginan hawa
nafsunya, egonya, kasih sayang dan cita-citanya kepada dunia dan akhirat.
Pencari yang hak memberi
alasan: Dunia ini adalah ciptaan dan kita juga ciptaan. Semua yang dicipta
berhajat kepada Pencipta. Bagaimana mungkin yang berhajat meminta kepada yang
berhajat juga. Apa lagi jalan bagi yang diciptakan kecuali mencari Pencipta.
Allah berfirman melalui
Rasul-Nya, "Kecintaan-Ku, Wujud-Ku, adalah kecintaan
mereka kepada-Ku".
Nabi s.a.w bersabda, "Keadaanku yang sangat berhajat, kemiskinanku, adalah
kemegahanku". Keadaan yang sangat berhajat dan kecintaan kepada Allah
menjadi asas kepada pencarian sufi. Keadaan kemiskinan yang menjadi kebanggaan
Nabi s.a.w bukanlah kekurangan sesuatu berbentuk keduniaan atau kebendaan. Ia
adalah pelepasan segala-galanya kecuali keinginan kepada Zat Allah. Ia adalah
segala sesuatu- bukan sahaja yang di dalam dunia ini, malah yang dijanjikan di
akhirat juga - dan lantaran itu suasana berhajat sepenuhnya untuk dipersembahkan
kepada Allah.
Inilah keadaan yang membawa
seseorang kepada kekosongan atau ketiadaan diri, lenyap di dalam zat Allah. Ia
adalah mengosongkan diri seseorang daripada apa sahaja kecuali cinta Allah.
Kemudian hati menjadi bernilai atau layak untuk menerima janji Allah, "Aku tidak dapat ditanggung oleh langit dan bumi tetapi layak
ditanggung oleh hati hamba-hamba-Ku yang beriman".
Hamba yang beriman adalah
yang melepaskan apa sahaja kecuali Yang Esa dari hatinya. Bila hati sudah
disucikan, Allah melapangkannya dan memuatkan Diri-Nya ke dalamnya. Bayazid
Bustami menggambarkan keluasan hatinya dengan katanya, "Jika segala yang maujud
di dalam dan di sekeliling arasy, keluasan semua ciptaan Allah, diletakkan di
penjuru hati manusia sempurna dia tidak akan merasai beratnya".
Begitulah keadaan kekasih
Allah. Kasihilah mereka dan sentiasalah bersama mereka kerana yang mencintai
akan bersama-sama yang dicintai pada hari akhirat nanti. Tanda kecintaan itu
ialah mencari kehadiran bersama-sama mereka, berkehendak mendengar perkataan
mereka, dan dengan pandangan serta perkataan mereka, dapat merasakan kerinduan
terhadap Allah Yang Maha Tinggi.
Allah berfirman melalui
Nabi-Nya, "Aku merasai kerinduan para hamba-Ku yang
beriman, yang baik-baik, hamba yang sejati, terhadap Diri-Ku dan Aku juga
merindui mereka".
Kekasih Allah kelihatan
berbeza daripada orang lain, kelakuan dan tindakan mereka juga berbeza. Pada
peringkat permulaan, ketika masih baharu, tindakan mereka kelihatan seimbang
antara baik dengan buruk. Bila mereka maju lagi dan sampai kepada peringkat
pertengahan, perbuatan mereka penuh dengan manfaat. Dalam semua hal kebaikan
yang keluar melalui mereka bukan sahaja dalam ketaatan mereka mematuhi perintah
Allah dan peraturan agama, tetapi juga dalam perbuatan yang mengandungi puncak
kebahagiaan dan bersinar dengan cahaya kepada maksud bagi yang zahir.
Mereka seolah-olah dipakaikan
dengan pakaian daripada cahaya yang berwarna warni yang memancar daripada mereka
menurut makam mereka.
Apabila mereka dapat
mengalahkan ego mereka dan kejahatan nafsu yang rendah dengan berkat kalimah
tauhid "La ilaha illa Llah" dan sampai kepada kewujudan yang boleh membezakan
antara yang hak dengan yang batil, yang benar dengan yang salah, cahaya biru
langit memancar keluar daripada mereka.
Bila dalam peringkat
tersebut, dengan pertolongan dan ilham dari Allah, mereka berpindah sepenuhnya
ke dalam kebaikan dan meninggalkan kejahatan keseluruhannya, cahaya merah
membungkus atau membaluti mereka.
Dengan berkata nama Allah -
HU - nama itu tiada yang lain kecuali yang hak dapat menceritakannya, mereka
sampai kepada peringkat dipersucikan daripada segala sifat-sifat keji dan
perbuatan jahat dan menemui suasana tenang dan aman, kemudian cahaya hijau
keluar daripada mereka.
Bila semua ego dan keinginan,
bila semua kehendak diri sendiri dihapuskan melalui berkat HAQ, yang sebenarnya,
dan bila mereka menyerahkan kehendak mereka kepada kehendak Allah dan reda
dengan apa juga yang datang daripada-Nya, warna mereka berubah menjadi cahaya
putih.
Inilah gambaran orang-orang
sufi daripada peringkat permulaan mereka di dalam perjalanan sampailah kepada
peringkat pertengahan. Tetapi seseorang yang sampai kepada perbatasan peringkat
ini tidak mempunyai bentuk atau warna. Dia menjadi seolah-olah sinaran cahaya
matahari. Cahaya matahari tidak berwarna. Sufi yang sampai kepada makam yang
paling tinggi tidak mempunyai kewujudan untuk membalikkan cahaya atau warna.
Jika ada, warnanya ialah hitam, yang menyerap semua warna. Inilah tanda keadaan
fana
Orang ramai yang melihat
kepadanya, keadaan yang tiada warna ini, kelihatan gelap, menjadi tabir menutupi
cahaya makrifat yang dia miliki, seperti malam menutupi sinaran matahari. Allah
berfirman: "Dan
Kami jadikan malam itu (sebagai) pakaian. Dan Kami jadikan siang itu tempat
penghidupan". (Surah Nabaa, ayat 10 &
11).
Bagi mereka yang sampai
kepada hakikat atau intipati akal dan ilmu, ada tanda dalam ayat di atas.
Mereka yang sampai kepada
kebenaran (hakikat) ketika di dalam dunia ini merasakan seolah-olah di
penjarakan di sini di dalam bilik kurungan di bawah tanah yang gelap. Mereka
menghabiskan hayat mereka di dalam kesusahan dan kesengsaraan. Mereka menanggung
kesusahan yang besar, tekanan-tekanan keadaan, di dalam dunia yang gelap
sepenuhnya. Nabi s.a.w bersabda, "Dunia ini adalah penjara bagi orang beriman".
Seperti yang baginda s.a.w khabarkan percubaan yang paling besar menimpa para
nabi, kemudian yang hampir dengan Allah, kemudian dengan kadar menurun mengikut
kadar seseorang itu mahu menghampiri Allah. Jadi, adalah sesuai bagi sufi
memakai pakaian hitam dan mengikat serban hitam di kepalanya, kerana ia adalah
pakaian orang yang bersedia menempuh kesusahan dan kesakitan di dalam perjalanan
ini.
Di dalam kenyataan, hitam
adalah pakaian paling sesuai bagi mereka yang berkabung kerana kehilangan
kemanusiaan dan kewujudan diri mereka. Ramai manusia yang kehilangan anugerah
yang berharga kerana kecuaian, sesuai hanya untuk kemanusiaan, bagi mereka yang
sedar, bagi yang boleh melihat kebenaran, enggan itu membunuh kehidupan abadi
dengan tangan mereka sendiri. Membuang kasih Ilahi yang kerinduan di dalam hati
mereka, memisahkan diri mereka enggan roh suci, mereka hilang kesempatan untuk
kembali kepada asal mereka, kepada penyebab. Walaupun mereka tidak
mengetahuinya, merekalah yang menderita bala yang paling besar. Jika mereka
sedar yang mereka sudah kehilangan segala nikmat akhirat, kehidupan abadi,
mereka tentunya memakai pakaian hitam, pakaian berkabung. Janda yang kematian
suami berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Ini adalah berkabung kerana
kehilangan sesuatu di dalam dunia. Orang yang kehilangan kebaikan hidup yang
abadi seharusnya berkabung secara abadi juga.
Nabi s.a.w bersabda, "Mereka
yang ikhlas sentiasa berada di tepi bahaya besar". Betapa tepat gambaran ini
mengenai orang yang terpaksa berjalan berjingkit-jingkit dengan penuh
kewaspadaan! Tetapi inilah suasana sufi yang meninggalkan kewujudan dirinya dan
berada di dalam alam fana. Kefakirannya terhadap dunia ini yang ditinggalkannya
dan hajatnya yang penuh kepada Allah sangat besar, dan dia melepasi kemanusiaan
sebagai keindahan yang bersangatan.
Mereka yang memperolehi
penyaksian kepada yang hak, setelah menyaksikan keindahan kebenaran itu, tidak
ingin melihat yang lain lagi. Mereka tidak boleh melihat kecintaan dan kerinduan
kepada apa sahaja. Bagi mereka, Allah jualah yang menjadi yang dikasihi, hanya
Dia yang wujud. Begitulah keadaan mereka di dalam kedua-dua alam. Itulah
satu-satunya matlamat mereka. Akhirnya mereka menjadi insan, dan Allah ciptakan
insan supaya mengenali-Nya, supaya mencapai Zat-Nya.
Menjadi kewajipan bagi setiap
orang untuk mencari dan mengenali atau mengetahui tujuan dia diciptakan dan
menghayati maksud tujuan tersebut, kewajipan yang mereka tanggung di dalam dunia
ini dan di akhirat, supaya mereka tidak habiskan usia mereka di dalam kerugian,
agar mereka tidak menyesal selama-lamanya di akhirat - dibungkus, lemas di dalam
kerinduan yang akan mereka sedari akhirnya di dalam penyesalan yang abadi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar