Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia jualah Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan bersumberkan Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia. Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari. Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tentu sekali yang paling
berharga di antara yang berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai,
barang perniagaan yang paling menguntungkan manusia, adalah ilmu pengetahuan.
Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai keesaan Allah, Tuhan
sekalian alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti
rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana,
adalah hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan
Ilahi. Dia lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan
rahmat-Nya yang Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi,
pembantu-pembantu mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi
khalifah kepada sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan
perasaan yang amat seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi memuji
orang-orang yang memiliki hikmah kebijaksanaan: “Kemudian Kami wariskan Kitab itu
kepada mereka yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian
daripada mereka menganiayai diri mereka sendiri, dan sebahagian daripada mereka
cermat, dan sebahagian daripada mereka ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan
dengan izin Allah, yang demikian adalah kurniaan yang besar”. (Surah Fatir, ayat 32).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
“Pemegang hikmah kebijaksanaan adalah pewaris nabi-nabi.
Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka bumi ini ikan-ikan di laut
bertasbih untuk mereka hingga kepada hari kiamat”.
Dalam ayat lain Allah Yang
Maha Tinggi berfirman: “Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya
melainkan orang-orang yang berilmu Pengetahuan” (Surah Fatir,
ayat 28).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda,
“Pada hari pembalasan, Allah akan mengumpulkan sekalian manusia, kemudian
mengasingkan yang berilmu di antara mereka dan berkata kepada mereka: ‘Wahai
orang-orang yang berilmu. Aku kurniakan kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali
kamu. Tidak aku kurniakan hikmah kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan
kamu pada hari ini. Masuklah ke dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu’
”.
Segala puji milik Allah,
Tuhan sekalian alam lantaran Dia kurniakan makam yang tinggi kepada
hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara mereka daripada dosa dan menyelamatkan
mereka daripada diseksa. Dia berkati ahlul hikmah dengan menghampiri mereka.
Sebahagian daripada
murid-murid kami meminta supaya kami sediakan sebuah buku yang memadai buat
mereka. Sesuai dengan permintaan dan keperluan mereka kami siapkan buku yang
ringkas ini Semoga ia dapat mengubati dan memuaskan mereka serta yang lain juga.
Kami namakan buku ini “Sirr al-asrar fi ma yahtaju Ilahi al-abrar” atau “rahsia
dalam rahsia-rahsia yang Kebenarannya sangat diperlukan”. Dalam pekerjaan ini
kenyataan di dalam kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang
memerlukannya.
Dalam menyampaikan hasil
kerja ini kami bahagikannya kepada 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam
pengakuan scui “La ilaha illah Llah, Muhammadun rasulu Llah” dan juga terdapat
24 jam dalam satu hari.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar