Khalwat dan suluk harus
dilihat secara zahir dan batin. Khalwat zahir ialah apabila seseorang mengambil
keputusan untuk memisahkan dirinya daripada dunia, memencilkan dirinya di dalam
satu ruang yang terpisah daripada orang ramai supaya manusia dan makhluk di
dalam dunia selamat daripada kelakuan dan kewujudannya yang tidak diingini. Dia
juga berharap agar dengan berbuat demikian sumber kepada kewujudan yang tidak
diingini, egonya dan hawa nafsu badannya akan terpisah daripada bekalan
hariannya dan terhenti juga segala yang memuaskan dan mengenyangkannya.
Seterusnya dia berharap pengasingan itu akan mendidik egonya dan seleranya,
memberi peluang kepada perkembangan diri rohaninya.
Bila seseorang memutuskan
demikian niatnya mestilah ikhlas. Dalam satu segi dia seumpama meletakkan
dirinya di dalam kubur, dalam keadaan mati, mengharapkan semata-mata keredaan
Allah, berhasrat dalam hatinya melahirkan yang asli dan beriman, yang boleh
lahir daripada kewujudannya yang hina ini. Nabi s.a.w bersabda, “Yang beriman adalah yang orang lain selamat daripada tangan dan
lidahnya”.
Dia mengikat lidahnya dari
berkata yang sia-sia kerana Nabi s.a.w bersabda, “Keselamatan manusia datang dari lidah dan kebinasaannya juga dari
lidah”. Dia menutupkan matanya daripada yang diharamkan agar
pandangannya yang khianat dan menipu daya tidak jatuh ke atas apa yang dimiliki
oleh orang lain. Dia menutup telinganya dari mendengar pembohongan dan
kejahatan, dan mengikat kakinya, membelenggunya dari pergi kepada dosa.
Nabi s.a.w bersabda
menceritakan setiap anggota badan boleh melakukan dosa sendirian, “Mata boleh berzina”. Bila salah satu daripada
pancaindera berdosa satu makhluk hitam yang hodoh diciptakan daripadanya dan
pada hari pembalasan ia menjadi saksi terhadap dosa yang kamu lakukan. Kemudian
ia dicampakkan ke dalam neraka.
Tuhan memuji orang yang
menghindarkan dirinya daripada kesalahan kerana yang demikian merupakan
penyesalan yang sebenar, taubat yang kuat. “Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya,
dan menegah diri daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurga itu tempat
kembalinya”. (Surah an-Naazi’aat, ayat 40 &
41).
Orang yang takutkan Tuhannya
dan bertaubat, mengeluarkan kewujudannya yang hina daripada yang beriman dan
mengeluarkan keburukannya daripada imannya, ditukarkan di dalam khalwatnya,
sehingga jadilah ia jejaka tampan. Kewujudan yang elok ini menjadi khadam kepada
penghuni syurga.
Mengasingkan diri adalah
benteng menghalang musuh bagi dosa diri sendiri dan kesalahan. Di dalamnya,
sendirian, seseorang terpelihara di dalam kesucian. Firman Allah:
“Barangsiapa
percaya akan pertemuan Tuhannya hendaklah ia kerjakan amal salih dan janganlah
ia sekutukan seseorang jua dalam ibadat kepada Tuhannya”. (Surah al-Kahfi, ayat 110).
Semua yang diceritakan hingga
kini adalah maksud bagi suasana khalwat zahir. Maksud khalwat batin pula ialah
mengeluarkan dari hati walaupun hanya memikirkan hal keduniaan, kejahatan dan
ego, meninggalkan makan, minum. Harta, keluarga, isteri, anak-anak dan perhatian
serta kasih sayang semuanya.
Anggapan orang lain melihat
atau mendengar tentangnya jangan masuk kepada khalwat ini. Nabi s.a.w bersabda,
“Kebesaran dan apa yang diburunya adalah bala, dan
melarikan diri daripada kebesaran dan mengharapkan pujian orang dan apa yang
dibawanya adalah keselamatan.”. Orang yang bercadang memasuki khalwat
batin mestilah menutupi hatinya daripada kemegahan, sombong, takabur, marah,
dengki, khianat dan yang seumpamanya. Jika sebarang perasaan yang demikian masuk
kepadanya di dalam khalwatnya hatinya menjadi terikat. Ia tidak lagi terlepas
daripada dunia dan khalwat demikian tidak berguna. Sekali kekotoran memasuki
hati ia kehilangan kesuciannya dan semua kebaikan terbatal. “Apa yang kamu bawa itu sihir,
sesungguhnya Allah akan membatalkannya (kerana) Allah itu tidak membaguskan amal
orang-orang yang berbuat bencana”. (Surah Yunus, ayat
81).
Walaupun perbuatan seseorang
itu kelihatan bagus pada pandangan orang lain, bila sifat-sifat buruk
memasukinya, orang itu dianggap berlaku khianat dan menipu dirinya sendiri dan
juga orang lain. Nabi s.a.w bersabda, “Sombong dan
takabur mencemarkan iman. Fitnah dan umpatan lebih buruk dari dosa
zina”. Juga, “Sebagaimana api membakar kayu
dendam membakar dan menghapuskan perbuatan baik seseorang”. Juga,
“Fitnah itu tidur, laknati ke atas siapa yang
mengejutkannya”. Juga, “Orang yang bakhil
tidak masuk syurga walaupun dia habiskan umurnya dengan ibadat”.
Juga, “Kepura-puraan adalah bentuk sembunyi mengadakan
sekutu bagi Tuhan”. Juga, “Syurga menolak
orang yang menolak orang lain”.
Banyak lagi tanda-tanda sifat
buruk yang dikutuk oleh Rasulullah s.a.w. Apa yang dinyatakan sudah memadai
untuk menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini adalah tempat yang memerlukan
berterusan di dalam berhati-hati dan berwaspada, perlu berjalan melaluinya
dengan penuh cermat dan perhatian. Matlamat pertama jalan kerohanian ialah
menyucikan hati dan langkah untuk memperolehinya ialah membenteras keegoan dan
keinginan hawa nafsu. Di dalam khalwat, dengan berdiam diri, bertafakur dan
berzikir terus menerus, ego seseorang diperbaiki. Kemudian Allah Yang Maha
Tinggi menjadikan hati seseorang itu bercahaya.
Tiada yang dilakukan di dalam
khalwat secara perbuatan sendiri. Apa yang perlu ialah cinta, ikhlas dan
keyakinan yang sebenar. Cara ini bukan cara orang tersebut sendiri. Dia menuruti
cara para sahabat Rasulullah s.a.w, cara orang-orang yang mengikuti mereka dan
cara orang yang mengetahui cara mereka dan mengikutinya.
Bila orang yang yakin berada
pada jalan ini menurut jalan taubat, ilham dan menyucikan hatinya, Allah
mencabut dari hatinya dan dirinya segala yang merosakkan dan yang keji dan
melindunginya agar dia tidak kembali kepadanya. Wajahnya akan menjadi cantik;
perasaannya, samada dipendamkan atau dizahirkan, menjadi tulen. Apa sahaja yang
dia lakukan dilakukannya dengan cara yang terpuji kerana dia berada di dalam
kehadiran Ilahi. “Allah mendengar orang yang
memuji-Nya”. Jadi, Allah menjaganya. Allah menerima doanya,
kerinduannya dan puji-pujiannya dan mengabulkan segala keinginannya.
“Barangsiapa
mahukan kemuliaan maka bagi Allah jualah semua kemuliaan. Kepada-Nya naik
perkataan yang baik, amal yang salih itu Dia angkat”. (Surah
Fatir, ayat 10).
Perkataan yang baik
menyelamatkan lidah daripada perkataan yang sia-sia. Lidah adalah alat yang baik
untuk memuji Tuhan, mengulangi nama-nama-Nya yang indah, memperakui keesaan-Nya.
Allah memberi amaran terhadap perkataan yang sia-sia: “Tidak sekali-kali! Sesungguhnya yang
demikian perkataan yang ia ucapkan padahal di belakang mereka satu dinding
hingga hari mereka dibangkitkan (mereka tidak benar dalam perkataan mereka)”.
(Surah Mukminuun, ayat 100).
Allah mengurniakan
keampunan-Nya, kasihan belas-Nya kepada orang yang belajar dan mengamalkannya
dengan niat yang baik. Dia membawanya hampir dengan membawanya kepada darjat
yang lebih tinggi. Dia reda kepadanya, Dia maafkan kesalahannya.
Bila seseorang telah
dinaikkan kepada darjat itu hatinya menjadi seperti laut. Bentuk dan warna laut
itu tidak berubah kerana sedikit Kekejaman dan penganiayaan yang orang ramai
Buangkan kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, “Jadilah seperti
laut yang tidak berubah, tetapi di dalamnya tentera gelap (ego) kamu akan
lemas”, seperti Firaun lemas di dalam Laut Merah. Dalam lautan itu
kapal agama timbul dengan selamat dan sejahtera, ia berlayar di dalam lautan
yang luas itu. Roh orang yang di dalam khalwat terjun ke dasarnya untuk
mendapatkan mutiara kebenaran, membawa ke permukaan mutiara kebijaksanaan
(makrifat) dari batu karang budi pekerti dan menyebarkannya ke tempat yang jauh.
Firman Allah:
“Keluar daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
“Keluar daripadanya mutiara dan marjan (batu karang)”. (Surah ar-Rahmaan, ayat 22).
Untuk memelihara lautan
tersebut zahir kamu mestilah sama dengan batin kamu, diri kamu mestilah sama
dengan apa yang kelihatan pada diri kamu. Suasana zahir dan suasana batin kamu
mestilah satu. Bila ini terjadi, tiada lagi penipuan, hasutan atau kekacauan di
dalam laut hati kamu. Tiada ribut nakal yang boleh memabukkan di dalam lautan
yang tenang itu. Orang yang memperolehi suasana tersebut berada di dalam keadaan
taubat sepenuhnya; ilmunya luas dan bermanfaat, perbuatannya semuanya adalah
khidmat untuk orang lain, hatinya tidak mengalir kepada kejahatan. Jika dia
tersilap atau lupa dia dimaafkan kerana dia ingat bila dia lupa dan bertaubat
bila dia bersalah. Dia berada dalam kehampiran dengan Allah dan dirinya sendiri.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar