Tempat roh manusia, roh
kehidupan, di dalam badan ialah dada. Tempat ini berhubung dengan pancaindera
dan deria-deria. Urusan atau bidangnya ialah agama. Pekerjaannya ialah mentaati
perintah Allah. Dengan peraturan-peraturan yang ditentukan-Nya, Allah memelihara
dunia nyata ini dengan teratur dan harmoni. Roh itu bertindak menurut kewajipan
yang ditentukan oleh Allah, tidak menganggap perbuatannya sebagai perbuatannya
sendiri kerana dia tidak berpisah dengan Allah. Perbuatannya daripada Allah;
tidak ada perpisahan di antara ‘aku’ dengan Allah di dalam tindakan dan
ketaatannya. “Barangsiapa percaya akan pertemuan Tuhannya
hendaklah mengerjakan amal salih dan janganlah ia sekutukan sesuatu dalam ibadat
kepada Tuhannya”. (Surah Kahfi, ayat
110).
Allah adalah esa dan Dia
mencintai yang bersatu dan satu. Dia mahu semua penyembahan dan semua amal
kebaikan, yang Dia anggap sebagai pengabdian kepada-Nya, menjadi milik-Nya
semata-mata, tidak dikongsikan dengan apa sahaja. Jadi, seseorang tidak
memerlukan kelulusan atau halangan daripada sesiapa pun di dalam pengabdiannya
kepada Tuhannya, juga amalannya bukan untuk kepentingan duniawi. Semuanya
semata-mata kerana Allah. Suasana yang dihasilkan oleh petunjuk Ilahi seperti
menyaksikan bukit-bukti kewujudan Allah di dalam alam nyata ini; kenyataan
sifat-sifat-Nya, kesatuan di dalam yang banyak, hakikat di sebalik yang nyata,
kehampiran dengan Pencipta, semuanya adalah ganjaran bagi amalan kebaikan yang
benar dan ketaatan tanpa mementingkan diri sendiri. Namun, semuanya itu di dalam
taklukan alam benda, daripada bumi yang di bawah tapak kaki kita sehinggalah
kepada langit-langit. Termasuk juga di dalam taklukan alam dunia ialah
kekeramatan yang muncul melalui seseorang, misalnya berjalan di atas air,
terbang di udara, berjalan dengan pantas, mendengar suara dan melihat gambaran
dari tempat yang jauh atau boleh membaca fikiran yang tersembunyi. Sebagai
ganjaran terhadap amalan yang baik manusia juga diberikan nikmati di akhirat
seperti syurga, khadam-khadam, bidadari, susu, madu, arak dan lain-lain.
Semuanya itu merupakan nikmati syurga tingkat pertama, syurga dunia.
Tempat ‘roh perpindahan atau
roh peralihan’ ialah di dalam hati. Urusannya ialah pengetahuan tentang jalan
kerohanian. Kerjanya berkait dengan empat nama-nama pertama bagi nama-nama Allah
yang indah. Sebagaimana dua belas nama-nama yang lain empat nama tersebut tidak
termasuk di dalam sempadan suara dan huruf. Jadi, ia tidak boleh disebut. Allah
Yang Maha Tinggi berfirman: “Dan bagi Allah jualah nama-nama yang baik, jadi
serulah Dia dengan nama-nama tersebut”. (Surah A’raaf, ayat
180).
Firman Allah di atas
menunjukkan tugas utama manusia adalah mengetahui nama-nama Tuhan. Ini adalah
pengetahuan batin seseorang. Jika mampu memperolehi pengetahuan yang demikian
dia akan sampai kepada makam makrifat. Di samalah pengetahuan tentang nama
keesaan sempurna.
Nabi s.a.w bersabda, “Allah Yang Maha Tinggi mempunyai sembilan puluh sembilan nama,
sesiapa mempelajarinya akan masuk syurga”. Baginda s.a.w juga
bersabda, “Pengetahuan adalah satu. Kemudian orang arif
jadikannya seribu”. Ini bermakna nama kepunyaan Zat hanyalah satu. Ia
memancar sebagai seribu sifat kepada orang yang menerimanya.
Dua belas nama-nama Ilahi
berada di dalam lengkungan sumber pengakuan tauhid “La ilaha illa Llah”. Tiap
satunya adalah satu daripada dua belas huruf dalam kalimah tersebut. Allah Yang
Maha Tinggi mengurniakan nama masing-masing bagi setiap huruf di dalam
perkembangan hati. Setiap satu daripada empat alam yang dilalui oleh roh
terdapat tiga nama yang berlainan. Allah Yang Maha Tinggi dengan cara ini
memegang erat hati para pencinta-Nya, dalam kasih sayang-Nya. Firman-Nya:
“Allah tetapkan
orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di Penghidupan dunia dan
akhirat”. (Surah Ibrahim, ayat 27).
Kemudian dikurniakan kepada
mereka kehampiran-Nya. Dia sediakan pokok keesaan di dalam hati mereka, pokok
yang akarnya turun kepada tujuh lapis bumi dan Dahannya meninggi kepada tujuh
lapis langit, bahkan meninggi lagi hingga ke arasy dan mungkin lebih tinggi
lagi. Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah adakan
misal, satu kalimah yang baik seperti pohon yang baik, pangkalnya tetap dan
cabangnya ke langit. (Surah Ibrahim, ayat
24).
Tempat ‘roh perpindahan atau
roh peralihan’ adalah di dalam nyawa kepada hati. Alam malaikat berterusan di
dalam penyaksiannya. Ia boleh melihat syurga alam tersebut, penghuninya,
cahayanya dan semua malaikat di dalamnya. Kalam ‘roh peralihan’ adalah bahasa
alam batin, tanpa huruf tanpa suara. Perhatiannya berterusan menyentuh soal-soal
rahsia-rahsia maksud yang tersembunyi. Tempatnya di akhirat apabila kembali
ialah syurga Na’im, taman kegembiraan kurniaan Allah.
Tempat ‘roh sultan’ di mana
ia memerintah, adalah di tengah-tengah hati, jantung kepada hati. Urusan roh ini
ialah makrifat. Kerjanya ialah mengetahui semua pengetahuan ketuhanan yang
menjadi perantaraan bagi semua ibadat yang sebenar-benarnya diucapkan dalam
bahasa hati. Nabi s.a.w bersabda, “Ilmu ada dua bahagian. Satu pada lidah, yang
membuktikan kewujudan Allah. Satu lagi di dalam hati. Inilah yang perlu bagi
menyedarkan tujuan seseorang”. Ilmu yang sebenar-benarnya bermanfaat berada di
dalam sempadan kegiatan hati. Nabi s.a.w bersabda, “Quran yang mulia mempunyai
makna zahir dan makna batin”. Allah Yang Maha Tinggi membukakan Quran kepada
sepuluh lapis makna yang tersembunyi. Setiap makna yang berikutnya lebih
bermanfaat daripada yang sebelumnya kerana ia semakin hampir dengan sumber yang
sebenarnya. Dua belas nama kepunyaan Zat Allah adalah umpama dua belas mata air
yang memancar dari batu apabila Nabi Musa a.s menghentamkan batu itu dengan
tongkatnya. “Dan
(ingatlah) tatkala Musa mintakan air bagi kaumnya, maka Kami berkata, ‘Pukullah
batu itu dengan tingkat kamu’. Lantas terpancar daripadanya dua belas mata air
yang sesungguhnya setiap golongan itu mengetahui tempat minumnya”. (Surah Baqarah, ayat 60).
Pengetahuan zahir adalah
umpama air hujan yang datang dan pergi sementara pengetahuan batin umpama mata
air yang tidak pernah kering. “Dan satu tanda untuk mereka, ialah bumi yang mati
(lalu) Kami hidupkannya dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, lalu mereka
memakannya”. (Surah Yaa Sin, ayat
33).
Allah jadikan satu bijian,
sebiji benih di langit. Benih itu menjadi kekuatan kepada kehaiwanan di dalam
diri manusia. Dijadikan-Nya juga sebiji benih di dalam alam roh-roh (alam
al-anfus); menjadi sumber kekuatan, makanan roh. Bijian itu dijiruskan dengan
air dari sumber hikmah. Nabi s.a.w bersabda, “Jika
seseorang menghabiskan empat puluh hari dalam keikhlasan dan kesucian sumber
hikmah akan memancar dari hatinya kepada lidahnya”.
Nikmat bagi ‘roh sultan ialah
kelazatan dan kecintaan yang dinikmatinya dengan menyaksikan kenyataan keelokan,
kesempurnaan dan kemurahan Allah Yang Maha Tinggi. Firman Allah:
“Dia telah diajar
oleh yang bersangatan kekuatannya, yang berupa bagus, lalu ia menjelma dengan
sempurnanya padahal ia di pehak atas yang paling tinggi. Kemudian ia mendekati
rapat (kepadanya), maka adalah (rapatnya) itu kadar dua busur panah atau lebih
dekat (lagi). Lalu Ia wahyukan kepada hamba-Nya apa yang Ia mahu wahyukan.
Hatinya tidak mendusta apa yang dia lihat”. (Surah Najmi, ayat
5 – 11).
Nabi s.a.w menggambarkan
suasana demikian dengan cara lain, “Yang beriman (yang
sejahtera) adalah cermin kepada yang beriman (yang sejahtera)”. Dalam
ayat ini yang sejahtera yang pertama ialah hati orang yang beriman yang
sempurna, sementara yang sejahtera kedua itu ialah yang memancar kepada hati
orang yang beriman itu, tidak lain daripada Allah Yang Maha Tinggi sendiri.
Allah menamakan Diri-Nya di dalam Quran sebagai Yang Mensejahterakan.
“Dia jualah Allah
yang tiada Tuhan melainkan Dia…Yang Mensejahterakan (Pemelihara iman),
Pemelihara segala-galanya”. (Surah Hasyr, ayat
23).
Kediaman ‘roh sultan’ di
akhirat ialah syurga Firdaus, syurga yang tinggi.
Setesen di mana roh-roh
berhenti adalah tempat rahsia yang Allah buatkan untuk Diri-Nya di tengah-tengah
hati, di mana Dia simpankan rahsia-Nya (Sirr) untuk disimpan dengan selamat.
Keadaan roh ini diceritakan oleh Allah melalui pesuruh-Nya: “Insan adalah rahsia-Ku dan Aku
rahsianya”.
Urusannya ialah kebenaran
(hakikat) yang diperolehi dengan mencapai keesaan; mencapai keesaan itulah
tuagsnya. Ia membawa yang banyak kepada kesatuan dengan cara terus menerus
menyebut nama-nama keesaan di dalam bahasa rahsia yang suci. Ia bukan bahasa
yang berbunyi di luar. “Dan jika engkau nyaringkan perkataan, maka
Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi”. (Surah Ta Ha, ayat 7)
Hanya Allah mendengar bahasa
roh suci dan hanya Allah mengetahui keadaannya.
Nikmat bagi roh ini ialah
penyaksian terhadap ciptaan Allah yang pertama. Apa yang dilihatnya ialah
keindahan Allah. Padanya terdapat penyaksian rahsia. Pandangan dan pendengaran
menjadi satu. Tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan tentang apa yang
disaksikanya. Dia menyaksikan sifat Allah, keperkasaan dan kekerasan-Nya sebagai
esa dengan keindahan, kelembutan dan kemurahan-Nya.
Bila manusia temui
matlamatnya, tempat kediamannya, bila dia temui akal asbab, pertimbangan
keduniaannya yang memandunya selama ini akan tunduk kepada Perintahnya; hatinya
akan rasa gentar bercampur hormat, lidahnya terkunci. Dia tidak berupaya
menceritakan keadaan tersebut kerana Allah tidak menyerupai sesuatu.
Bila apa yang diperkatakan di
sini sampai ke telinga orang yang berilmu, mula-mula cubalah memahami tahap
pengetahuan sendiri. Tumpukan perhatian kepada kebenaran (hakikat) mengenai
perkara-perkara yang sudah diketahui sebelum mendongak ke ufuk yang lebih
tinggi, sebelum mencari peringkat baharu, semoga mereka memperolehi pengetahuan
tentang kehalusan perlaksanaan Ilahi. Semoga mereka tidak menafikan apa yang
sudah diperkatakan, tetapi sebaliknya mereka mencari makrifat, kebijaksanaan
untuk mencapai keesaan. Itulah yang sangat diperlukan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar