Ilmu pengetahuan zahir
mengenai benda-benda yang nyata dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu
pengetahuan batin juga dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian
tersebut dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah
yang sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi tujuan yang berkaitan
dengan kita pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat bahagian.
Bahagian pertama melibatkan peraturan agama, mengenai kewajipan dan larangan
berhubung dengan perkara-perkara dan peraturan-peraturan di dalam dunia ini.
Kedua menyentuh soal pengertian atau maksud dalaman serta tujuan kepada
peraturan-peraturan tersebut dan bahagian ini dinamakan bidang kerohanian iaitu
pengetahuan mengenai perkara-perkara yang tidak nyata. Ketiga mengenai hakikat
kerohanian yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. Keempat mengenai hakikat
dalaman kepada hakikat iaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya. Manusia
yang sempurna perlu mempelajari semua bidang atau bahagian tersebut dan mencari
jalan ke arahnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Agama ialah pokok, kerohanian adalah dahannya, kearifan
(makrifat) adalah daunnya, kebenaran (hakikat) adalah buahnya. Quran dengan
ulasannya, keterangannya, terjemahannya dan ibarat-ibaratnya mengandungi
semuanya itu”. Di dalam buku al-Najma perkataan-perkataan tafsir,
ulasan dan takwil serta terjemahan melalui ibarat dimengertikan sebagai: ulasan
terhadap Quran adalah keterangan dan perincian bagi faedah kefahaman orang awam,
sementara terjemahan melalui ibarat adalah keterangan tentang maksud yang
tersirat yang boleh diselami melalui tafakur yang mendalam serta memperolehi
ilham sebagaimana yang dialami oleh orang-orang beriman yang sejati. Terjemahan
yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah yang khusus lagi teguh, berterusan
di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh dengan pengetahuan yang membolehkan
mereka membuat pertimbangan yang benar. Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi
sementara hati dan fikiran mereka menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat
Allah keadaan berterusan begini yang tidak bercampur dengan keraguan di
tempatkan di tengah-tengah hati mereka. Hati yang teguh dalam suasana ini
bersesuaian dengan bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah”, pengakuan
terakhir keesaan.
“Dia jualah
yang menurunkan Kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang
menghukum, iaitu ibu-ibu bagi Kitab, dan (sebahagian) yang lain adalah ayat-ayat
yang perlukan takwil. Adapun orang-orang yang di hati mereka ada kesesatan
mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya kerana hendak membuat fitnah dan
kerana hendak membuat takwilnya sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya
melainkan Allah dan orang-orang yang teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami
beriman kepadanya (kerana) semua itu daripada Tuhan kami’, dan tidak mengerti
melainkan orang-orang yang mempunyai fikiran”. (Surah Imraan,
ayat 7)
Jika pintu kepada ayat ini
terbuka akan terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahsia batin.
Hamba Allah yang sejati
berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada
larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan
jasad yang tidak sehat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk
khayalan dan gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat
kerohanian ego yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan
mengikuti sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan
kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang telah
diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego
cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah ego
juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar
menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah. Allah berfirman:
“Tidakkah engkau
perhatikan orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” (Surah Furqaan, ayat 43).
Tetapi peringkat kebenaran
sejati adalah berbeza. Ego dan iblis tidak boleh sampai ke sana. Malah malaikat
juga tidak sampai ke sana. Sesiapa sahaja kecuali Allah jika sampai ke sana
pasti terbakar. Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada sempadan
peringkat ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati bebas
daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai
keikhlasan dan kesucian. “Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku
akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang
dibersihkan”. (Surah Shad, ayat 82 &
83).
Manusia tidak dapat mencapai
hakikat kecuali dia suci murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak akan
meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah keikhlasan
sejati. Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima pengetahuan
tentang Zat Allah. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya Allah tanpa
pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri yang menjadi
Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan kepada
Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai kepada
peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan menyembah-Nya yang dia
kenal.
Orang yang sampai kepada
suasana ini memiliki penyaksian roh suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi
Muhamamd s.a.w. Dia boleh bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara
daripada awal hingga ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya
khabar gembira tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah menggambarkan
suasana ini: “Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan rasul-Nya,
maka mereka beserta orang-orang yang diberi nikmat daripada nabi-nabi, siddiqin,
syuhada dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini sebagai sahabat rapat”.
(Surah Nisaa’ ,ayat 69).
Orang yang tidak boleh
menemui pengetahuan ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia
membaca seribu buah buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang
mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah
kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna
pengetahuannya tentang perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia tidak
membantu seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu
kehampiran dengan Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut
dan untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang
terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan
pengetahuan batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan
apa sahaja yang ditemui dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui rasul-Nya:
“Hamba-Ku, jika
kamu ingin masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia
ini ataupun alam tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu
boleh menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.
Dunia kebendaan ini menjadi
godaan dan tipu daya syaitan kepada orang yang berilmu. Alam malaikat menjadi
rangsangan kepada orang yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi menjadi
godaan kepada orang yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa yang
berpuas hati dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang daripada
kurniaan Allah yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka tertarik
dengan godaan dan rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka tidak boleh
maju ke hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun matlamat
mereka adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh sampai ke sana.
Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang yang mencapai kesedaran
tentang hakikat yang sebenar, menerima rahmat dan kurniaan dari Allah yang tidak
pernah mata melihatnya dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah
hati mengetahui namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban dengan Allah. Di
sana tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang cantik sebagai
pasangan. Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak berkehendak, tidak
menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a berkata, “Semoga Allah
merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu menjaga diri agar
berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang tidak menghabiskan
masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang yang berilmu mestilah
menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam hatinya adalah pengenalan mengenai
kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan yang sejati. Dia patut mendidik bayi hati,
ajarkan keesaan melalui berterusan menyedari tentang keesaan – tinggalkan
keduniaan kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian, alam rahsia
di mana tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di sana bukan
tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati terbang
melepasi padang yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan perkara-perkara yang
tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa bercerita mengenainya, tiada
sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat yang menjadi rumah kediaman bagi mereka
yang meninggalkan diri mereka dan menemui keesaan dengan Tuhan mereka, mereka
yang memandang dengan pandangan yang sama dengan Tuhan mereka, pandangan
keesaan. Bila mereka menyaksikan keindahan dan kemuliaan Tuhan mereka tidak ada
apa lagi yang tinggal dengan mereka. Bila dia melihat matahari dia tidak dapat
melihat yang lain, dia juga tidak dapat melihat dirinya sendiri. Bila keindahan
dan kemurahan Allah menjadi nyata apa lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak
ada apa-apa!
Nabi s.a.w bersabda, “Seseorang perlu dilahirkan dua kali untuk sampai kepada alam
malaikat”. Ia adalah kelahiran maksud daripada perbuatan dan
kelahiran rohani daripada jasad. Kemungkinan yang demikian ada dengan manusia.
Ini adalah keanehan rahsia manusia. Ia lahir daripada percampuran pengetahuan
tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat, sebagaimana bayi lahir hasil
daripada percampuran dua titik air.
“Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia daripada
setitik (mani) yang bergiliran, yang Kami berikan percubaan kepada mereka, iaitu
Kami jadikan dia mendengar dan melihat”. (Surah Insaan, ayat
2).
Bila maksud menjadi nyata
dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk melepasi bahagian yang cetek dan masuk ke
dalam laut penciptaan dan membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum peraturan
Allah. Sekalian alam kebendaan ini hanyalah satu titik jika dibandingkan dengan
alam kerohanian. Hanya bila semua ini difahamkan maka kuasa kerohanian dan
cahaya keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang sebenar-benarnya,
memancar ke dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar