Tahap-tahap dan
peringkat-peringkat perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu ditegaskan
bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari
cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang telah
sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan menyeluruh merupakan langkah
pertama di dalam perjalanan. “(Ingatlah) tatkala orang-orang kafir itu adakan
dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan
ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka (ucapkan)
perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih berhak dengan itu,
dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah mengetahui tiap sesuatu”. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah
mempunyai maksud yang sama dengan kalimah “La ilaha illa Llah” – tiada Tuhan,
tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang mengetahui ini akan ada perasaan
takut kehilangan-Nya, kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia
takut dan malu melakukan kesalahan sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya.
Jika seseorang itu tidak berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang
takutkan Allah dan menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.
Sumber dari mana perkataan
itu diterima mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah, dan
sesiapa yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara
perkataan orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam. Penerimanya
mestilah sedar cara perkataan itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya sama
mungkin mempunyai maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang
datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya
daripada sumber lain.
Hatinya menjadi hidup bila
dia menerima benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang demikian
sangat subur, itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada benih yang
kering lagi tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah” disebut dua kali
di dalam Quran menjadi bukti. “(Kerana) apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan
melainkan Allah” mereka menyombong. Dan mereka berkata, ‘Apakah kami mesti
tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan gila?”
(Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan orang awam
yang baginya rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah tuhan-tuhan.
“Oleh itu
Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan
bagi buah amal kamu, dan bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat
usaha kamu (di siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam hari)”. (Surah Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini menjadi
panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
Saidina Ali r.a meminta
Rasulullah s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai, paling
cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti Jibrail memberikan jawapannya
daripada sumber Ilahi. Jibrail datang dan mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan
“La ilaha” sambil memusingkan mukanya yang diberkati ke kanan, dan mengucapkan
“illa Llah” sambil memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang
diberkati. Jibrail mengulanginya tiga kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali
dan mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya tiga
kali juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada
sahabat-sahabat baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya
dan menjadi orang yang pertama diajarkan.
Kemudian satu hari selepas
kembali daripada peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada pengikut-pengikut
baginda, “Kita baharu kembali daripada peperangan yang
kecil untuk menghadapi peperangan yang besar”. Baginda s.a.w
merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri, keinginan yang rendah yang
menjadi musuh kepada penyaksian kalimah tauhid. Baginda s.a.w bersabda, “Musuh kamu yang paling besar ada di bawah rusuk kamu”.
Cinta Ilahi tidak akan hidup
sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan kamu.
Mula-mulanya kamu mesti bebas
daripada ego kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu akan mula
memiliki suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas sepenuhnya
daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri sendiri – tetapi ia
belum mencukupi. Kamu mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat di mana
hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran tentang benar dan
salah. Kemudian kamu akan berhenti melakukan kesalahan dan akan hanya melakukan
kebaikan. Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di dalam menentang hawa
nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu kehaiwanan –
kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia – dan menentang
sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu – kekejian, marah, kasar dan
berkelahi. Kemudian kamu mesti usahakan membuang perangai-perangai ego yang
jahat, takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan
hati kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan
menjadi bersih, suci murni dan tulen. “Sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang
bertaubat dan memelihara kesuciannya”. (Surah Baqarah, ayat
222).
Dalam melakukan taubat
seseorang itu mestilah mengambil perhatian supaya penyesalannya tidak
samar-samar dan tidak juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman
Allah: “Tidak kira
berapa banyak mereka bertaubat mereka tidak sebenarnya menyesal. Taubat mereka
tidak diterima”.
Ini ditujukan kepada mereka
yang hanya mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu sejauh mana dosa
mereka, malah tidak mengambil tindakan pembaikan dan pencegahan. Itulah taubat
yang biasa, taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah umpama
orang yang cuba menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di atas tanah
tetapi tidak mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang demikian
membantu rumput untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang yang bertaubat dengan
mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan itu berazam tidak mengulanginya dan
membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut akar pokok yang merosakkan
itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali akarnya, punca kepada dosa-dosa,
ialah pengajaran kerohanian daripada guru yang benar. Tanah mestilah dibersihkan
sebelum ditanam pokok orkid. “Dan Kami bawakan perumpamaan kepada manusia supaya
mereka memikirkannya”. (Surah Hasyr, ayat
21). “Dia jualah Penerima taubat
hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa yang kamu
kerjakan”. (Surah Syura, ayat 25). “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman dan
mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah tukarkan kejahatan mereka dengan
kebaikan kerana adalah Allah itu Pengampun, Penyayang”. (Surah
Furqaan, ayat 70).
Ketahuilah taubat yang
diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.
Ada dua jenis taubat, taubat
orang dan taubat mukmin sejati. Orang awam berharap meninggalkan kejahatan dan
masuk kepada kebaikan dengan cara mengingati Allah dan mengambil langkah usaha
bersungguh-sungguh, meninggalkan hawa nafsunya dan kesenangan badannya dan
menekankan egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya yang ingkar terhadap
peraturan Allah dan masuk kepada taat. Itulah taubatnya yang menyelamatkannya
dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Orang mukmin sejati, hamba
Allah yang tulen, berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka berada pada
makam makrifat yang jauh lebih tinggi daripada makam orang awam yang paling
baik. Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga untuk dipanjat; mereka
telah sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mereka telah meninggalkan
kesenangan dan nikmat dunia ini dan menikmati kelazatan alam kerohanian – rasa
kehampiran dengan Allah, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan mata keyakinan.
Perhatian orang awam tertuju
kepada dunia ini dan kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan dan
kewujudan kebendaannya. Malah, jika kewujudan kebendaan manusia dan dunia
merupakan satu kesilapan begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang paling baik
daripadanya. Kata-kata yang diucapkan oleh orang arif, “Kewujduan dirimu
merupakan dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil jika dibandingkan
dengannya”. Orang arif selalu mengatakan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh
orang baik-baik tidak mencapai kehampiran dengan Allah tidak lebih daripada
kesalahan orang yang hampir dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon
keampunan terhadap kesalahan yang tersembunyi yang kita sangkakan kebaikan, Nabi
s.a.w yang tidak pernah berdosa memohon keampunan daripada Allah sebanyak
seratus kali sehari. Allah Yang Maha Tinggi mengajarkan kepada rasul-Nya:
“Pintalah
perlindungan bagi buah amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat”. (Surah Muhamamd, ayat 19).
Dia jadikan rasul-Nya yang
suci murni sebagai teladan tentang cara bertaubat – dengan merayu kepada Allah
supaya menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya pada
diri seseorang, mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat yang
sebenarnya.
Taubat yang demikian
meninggalkan segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali
kepada-Nya, kembali kepada kehampiran-Nya untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w
menjelaskan taubat yang demikian dengan sabda baginda s.a.w, “Ada sebahagian
hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di sini tetapi hati mereka
berada di sana, di bawah arasy”. Hati mereka berada pada langit kesembilan, di
bawah arasy Allah kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak mungkin berlaku
pada alam bawah.
Di sini hanya kenyataan atau
penzahiran sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke atas cermin
yang bersih kepunyaan hati yang suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku melihat
Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di mana keindahan,
kemuliaan dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi kepada suasana
ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang suci.
Bagi memperolehi suasana
tersebut, untuk membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru yang
matang, yang di dalam keesaan dengan Allah, yang disanjung dan dimuliakan oleh
semua, dahulu dan sekarang. Guru berkenaan mestilah telah sampai kepada makam
kehampiran dengan Allah dan dihantar balik ke alam rendah oleh Allah untuk
membimbing dan menyempurnakan mereka yang layak tetapi masih mempunyai
kecacatan.
Di dalam penurunan mereka
untuk melakukan tugas tersebut wali-wali Allah mestilah berjalan Sesuai dengan
sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti teladan baginda s.a.w, tetapi tugas
mereka berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan orang
ramai dan juga orang-orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak dihantar
untuk mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang dipilih sahaja.
Rasul-rasul diberi kebebasan dalam menjalankan tugas mereka, sementara wali-wali
yang mengambil tugas sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul dan
nabi-nabi.
Guru kerohanian yang mengaku
diri mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan nabi, jatuh kepada kesesatan dan
kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan sahabat-sahabat baginda yang arif adalah
umpama nabi-nabi Bani Israil, baginda memaksudkan lain daripada ini – kerana
nabi-nabi yang datang selepas Musa a.s semuanya mengikuti prinsip agama yang
dibawa oleh Musa a.s. Mereka tidak membawa peraturan baharu. Mereka mengikuti
undang-undang yang sama. Seperti mereka juga orang-orang arif dari kalangan umat
Nabi Muhammad s.a.w yang bertugas membimbing sebahagian daripada orang-orang
suci yang dipilih, mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w, tetapi menyampaikan
perintah dan larangan dengan cara baharu yang berbeza, terbuka dan jelas,
menunjukkan kepada murid-murid mereka dengan perbuatan yang mereka kerjakan pada
masa dan keadaan yang berlainan. Mereka memberi dorongan kepada murid-murid
mereka dengan menunjukkan kelebihan dan keindahan prinsip-prinsip agama. Tujuan
mereka ialah membantu pengikut-pengikut mereka menyucikan hati yang menjadi
tapak untuk membena tugu makrifat.
Dalam semua itu mereka
mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w yang terkenal
sebagai ‘golongan yang memakai baju bulu’ yang telah meninggalkan semua
aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah s.a.w dan berada hampir
dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya secara
langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam kehampiran mereka dengan
Rasulullah s.a.w mereka telah sampai kepada peringkat di mana mereka boleh
bercakap tentang rahsia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w sebelum baginda
membuka rahsia tersebut kepada sahabat-sahabat baginda.
Wali-wali yang menjadi guru
memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan Tuhannya. Amanah dan
penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka.
Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin mereka
selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.
Tidak semua orang yang
memiliki ilmu berada di dalam keadaan tersebut. Mereka yang sampai ke situ
adalah yang lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w daripada anak-anak dan keluarga
mereka sendiri dan mereka adalah umpama anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w
yang hubungannya lebih erat daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris
sebenar kepada Nabi s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahsia bapanya pada
rupa zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan rahsia ini, “Ilmu
khusus adalah umpama khazanah rahsia yang hanya mereka yang mengenali Zat Allah
boleh mendapatkannya. Namun bila rahsia itu dibukakan orang yang mempunyai
kesedaran dan ikhlas tidak menafikannya”.
Ilmu tersebut dimasukkan
kepada Nabi s.a.w pada malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya. Rahsia itu
tersembunyi di dalam diri baginda di sebalik tiga ribu tabir hijab. Baginda
s.a.w tidak membuka rahsianya melainkan kepada sebahagian pengikut baginda yang
sangat hampir dengan baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan rahsia inilah
Islam akan terus memerintah sehingga ke hari kiamat.
Pengetahuan batin tentang
yang tersembunyi membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Sains, kesenian dan
kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan batin. Mereka yang
memiliki pengetahuan kerangka itu bolehlah mengharapkan satu hari nanti mereka
diberi kesempatan untuk memiliki apa yang di dalam kerangka. Sebahagian daripada
mereka yang berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh seorang manusia secara
umumnya sementara sebahagian yang lain menjadi ahli dan memelihara ilmu tersebut
daripada hilang. Ada golongan yang menyeru kepada Allah dengan nasihat yang
baik. Sebahagian daripada mereka mengikuti sunnah Nabi s.a.w dan dipimpin oleh
Saidina Ali r.a. yang menjadi pintu kepada gedung ilmu yang melaluinya masuklah
mereka yang menerima undangan dari Allah. “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana dan
nasihat dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik”.
(Surah Nahl, ayat 125).
Maksud dan perkataan mereka
adalah sama. Perbezaan pada zahirnya hanyalah pada perkara-perkara terperinci
dan cara pelaksanaannya.
Sebenarnya ada tiga makna
yang kelihatan sebagai tiga jenis ilmu yang berbeza – dilakukan secara berbeza,
tetapi menjurus kepada yang satu Sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ilmu
dibahagikan kepada tiga yang tidak ada seorang manusia boleh menanggung
keseluruhan beban ilmu itu juga tidak berupaya mengamalkan dengan sekaliannya.
Bahagian pertama ayat di atas
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana (hikmah)”, Sesuai dengan makrifat,
zat dan permulaan kepada segala sesuatu, pemiliknya mestilah sebagaimana Nabi
s.a.w beramal Sesuai dengannya. Ia hanya dikurniakan kepada lelaki sejati yang
berani, tentera kerohanian yang akan mempertahankan kedudukannya dan
menyelamatkan ilmu tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Kekuatan semangat lelaki
sejati mampu menggoncang gunung”. Gunung di sini menunjukkan keberatan hati
sesetengah manusia. Doa lelaki sejati yang menjadi tentera kerohanian
dimakbulkan. Bila mereka menciptakan sesuatu ia berlaku, bila mereka mahukan
sesuatu hilang maka ia pun hilang. “Dia kurniakan hikmah kepada sesiapa yang Dia
kehendaki, dan Barangsiapa dikurniakan hikmah maka sesungguhnya dia telah diberi
kebajikan yang banyak”. (Surah Baqarah, ayat
269).
Jenis kedua ialah ilmu zahir
yang disebut Quran sebagai “seruan yang baik”. Ia menjadi kulit kepada hikmah
kebijaksanaan rohani. Mereka yang memilikinya menyeru kepada kebaikan, mengajar
manusia berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya. Nabi s.a.w memuji mereka.
Orang yang berilmu menyeru dengan lemah lembut dan baik hati, sementara yang
jahil menyeru dengan kasar dan kemarahan.
Jenis ketiga ialah ilmu yang
menyentuh kehidupan manusia di dalam dunia. Ia disebut sebagai ilmu agama
(syariat) yang menjadi sarang kepada hikmah kebijaksanaan (makrifat). Ia adalah
ilmu yang diperuntukkan kepada mereka yang menjadi pemerintah manusia;
menjalankan keadilan ke atas sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama
manusia. Bahagian terakhir ayat Quran yang di atas tadi menceritakan tugas
mereka “dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”. Mereka ini
menjadi kenyataan kepada sifat Allah “al-Qahhar” Yang Maha Keras. Mereka
berkewajipan menjaga peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum Tuhan,
seumpama sabut melindungi tempurung dan tempurung melindungi isi.
Nabi s.a.w menasihatkan,
“Biasakan dirimu berada di dalam majlis orang-orang arif,
taatlah kepada pemimpin kamu yang adil. Allah Yang Maha Tinggi menghidupkan hati
dengan hikmah seperti Dia jadikan bumi yang mati hidup dengan tumbuh-tumbuhan
dengan menurunkan hujan”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Hikmah adalah harta yang hilang bagi orang yang beriman,
dikutipnya di mana sahaja ditemuinya”.
Malah perkataan yang
diucapkan oleh manusia biasa datangnya daripada Loh Terpelihara menurut hukum
Allah terhadap segala perkara daripada awal hingga akhir. Loh itu disimpan pada
alam tinggi pada akal asbab tetapi perkataan diucapkan menurut makam seseorang.
Perkataan mereka yang telah mencapai makam makrifat adalah secara langsung
daripada alam tersebut, makam kehampiran dengan Allah. Di sana tidak ada
perantaraan.
Ketahuilah bahawa semua akan
kembali kepada asal mereka. Hati, zat, mesti dikejutkan; jadikan ianya hidup
untuk mencari jalan kembali kepada asalnya yang suci murni. Ia mesti mendengar
seruan. Seseorang mesti mencari orang yang orang yang daripadanya seruan itu
muncul, melaluinya zahir seruan. Itulah guru yang sebenar. Ini merupakan
kewajipan bagi kita. Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi setiap orang
Islam lelaki dan perempuan”. Ilmu tersebut merupakan peringkat terakhir semua
ilmu, itulah ilmu makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang kepada asalnya,
yang sebenar (hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar mana keperluannya.
Allah menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan angan-angan kepada dunia,
kemuliaan dan kebesarannya, kerana kepentingan duniawi ini menghalang seseorang
kepada Allah. “Katakanlah: “Aku tidak meminta kepadamu upah atas
(menyampaikan)nya, kecuali percintaan (kepadaku) lantaran kerabat”. (Surah Syura, ayat 23).
Ditafsirkan maksud perkataan
“apa yang hampir dengan kamu” ialah datang hampir dengan kebenaran.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar